Friday 30 December 2011

Syarat Solat

Syarat wajib solat:

    Islam
    Baligh
    Berakal
    Suci daripada haid dan nifas bagi perempuan


Syarat sah solat

    Suci dan bersih badannya dari hadas besar dan kecil – Ertinya seseorang itu telahpun berwuduk dan mandi hadas. Sabda Rasulullah s.a.w.

    "Allah tidak menerima solat seseorang dari kamu, apabila dia berhadas sehingga dia berwuduk" (H.R. Bukhari,Muslim).

    Suci dan bersih pakaian serta tempat solat dari najis – Orang yang mendirikan solat wajib suci pakaian dan tempat solatnya dari najis, kecuali najis yang dimaafkan seperti darah yang sedikit, kotoran yang melekat pada kaki dan sebagainya. Dalam kaedah feqah disebutkan bahawa "kesukaran itu dapat menarik keringanan", oleh itu najis yang dimaafkan itu tidak membatalkan solat.
    Menutup aurat – Adapun menutup aurat bagi wanita ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Manakala aurat lelaki ialah diantara pusat hingga lutut. Batas ini paling penting dan wajib ditutup dalam solat. Firman Allah s.w.t.

    "Wahai manusia, pakailah perhiasan mu ketika hendak solat di masjid" (Al-A'raf:31).

    Menghadap Kiblat – Ketika mendirikan solat, kita diwajibkan menghadap kiblat iaitu Kaabah berdasarkan firman Allah s.w.t.

    "Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (Kaabah)" (Al-Baqarah:144).

    Yakin bahawa waktu solat telah masuk – Dengan yakin telah masuk waktu solat fardu yang hendak dilaksanakan.

(nota: sekiranya sesudah tamat solat, lalu disedari perkara yang tersebut di atas terjadi - misalnya didapati ada najis di sejadah - maka perlulah diulangi solat itu kerana ia tidak menepati syarat sah solat)


Perkara-perkara yang membatalkan solat

  •     Keluar/kedatangan hadas besar atau kecil.
  •     Berkata-kata dengan sengaja walau sedikit yang memberi faham, atau ketawa.
  •     Makan/minum dengan sengaja membatalkan solat.[1]
  •     Melakukan pergerakan di luar rukun solat tiga kali berturut-turut(mutawaliyat).
  •     Berniat keluar dari solat (mufaraqah).
  •     Terkena najis yang tidak dimaafkan pada badan, pakaian dan tempat solat.
  •     Beralih arah dari kiblat dengan sengaja (berpaling dada).
  •     Terbuka aurat dengan sengaja, atau tidak sengaja tetapi tidak segera ditutup.
  •     Berubah niat dari satu solat ke solat yang lain.
  •     Meninggalkan rukun solat.
  •     Murtad

1 comment: